Showing posts with label Famili. Show all posts
Showing posts with label Famili. Show all posts

Tuesday, April 23, 2013

Permudahkanlah...

Menanti, berdoa dan terus menanti dan terus berdoa, akhirnya berita gembira diterima juga. Pembiaya telah pun meluluskan pertukaranku ke universiti yang kupilih!! Syukur tak terhingga. Mendapat jawapan yang ditunggu, bermulalah pengembaraan kami mencari rumah sewa serta sekolah dan taska anak-anak. Syukur Alhamdulillah, rumah yang termurah walaupun di luar kemampuan kami ditemui. Rumah tersebut pula sudah dilengkapi perabot. Urusan-urusan berkaitan juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Kami juga sepakat untuk menjual perabot-perabot sedia ada dan berpindah dengan hanya membawa pakaian dan keperluan diri sahaja untuk mengurangkan kos.


Sementara itu, kesihatan ibu mertua semakin merosot. Setelah kulit serta mata putihnya bertukar menjadi kuning, ibu mertua akhirnya bersetuju untuk ke hospital bertemu pakar seperti yang disarankan oleh doktor klinik. Sebaik sahaja bertemu pakar, dia terus ditahan untuk bermalam di wad. Hari yang sama, dia menjalani ujian ultrasound untuk mengetahui penyakit yang disyaki. Menurut laporan ultrasound, penyakit ibu mertua ini berat. Dia disyakki sedang berperang dengan kanser pankreas!! Hal ini masih dirahsiakan daripada ibu mertua bagi mengelakkan dia bertukar fikiran dan menerima kejutan.


Ibu mertua diwadkan lebih kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang. Seminggu itu, dia dimasukkan darah dan air untuk memulihkan keadaan dan tenaganya. Dia nampak sangat lemah dari segi fizikal dan juga emosi. Mungkin setiap  hari, berat dia memikirkan penyakitnya itu. Sepanjang seminggu itu juga rutin berubah. Kakak ipar dari Johor datang menjaga ibu mertua bergilir dengan suamiku. Namun begitu, sempat kami ke universiti baruku untuk mendaftar.


Setelah beberapa hari di rumah, ibu mertua dijadualkan untuk menjalan ujian CT scan pula untuk mengetahui kansernya itu tahap keberapa. Laporan CT Scan akan diperolehi dalam masa dua minggu. Seminggu lagi, kami dijadualkan pindah ke tempat baru. Adik-beradik suamiku telah bersetuju untuk memindahkan perubatan ibu mertua ke hospital di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan penjagaannya.



Senarai semakku berubah drastik kini...



Senarai semak 2013:

1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (Selesai, Alhamdulillah)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)(Selesai, Alhamdulillah)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru(Selesai, Alhamdulillah)
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.


Satu perkara yang merunsingkanku.... Semangat berjuang melayar bahtera PhD ini semakin luntur. Oh Tidak!

Tuesday, March 19, 2013

Kusut Terlerai

Badai kali ini melanda melibatkan perkara yang lebih besar. Rupa-rupanya restu dan persetujuan suami untuk berpindah hampir dengan universiti mendapat tentangan daripada ibunya sendiri. Ibunya yang baru menghidapi sakit yang agak berat, terusik hati apabila anakndanya tempat dia bergantung berhasrat untuk berpindah. Sakit ibu tidaklah menyebabkan dia terlantar kesakitan, tetapi tanda-tanda yang tidak normal berlaku, mulai timbul. Yang lebih menyulitkan ialah ibu tidak berani untuk berdepan dengan kenyataan dan berhasrat untuk tidak bertemu doktor untuk mengetahui sakitnya yang sebenar dan membiarkan penyakit sebagai satu misteri. Sebaliknya berubat secara batin sahaja. Perkara ini terlindung dan tidak diluahkan secara terang sehingga kami menjadi bingung mengapa saudara-mara seolah-olah mendoakan kami tidak akan dapat pindah. Campurtangan daripada adik-beradik yang lain juga mengusutkan kepala yang sedang berserabut. Yang lebih menyedihkan, suami dituduh melebihkan isteri daripada ibu sendiri. Walhal duduk perkara sebenar tidak dibincangkan.

Berkat isteri bergantung kepada restu suami. Manakala sejahtera anak lelaki bersandar kepada redha ibu! Kusut.. Kami sudah mengajak ibu ikut bersama kami, namun dia memilih untuk tetap bersama adiknya yang tinggal berhampiran rumah kami kini. Memang hati kecil ini senang tersinggung apabila itu terjadi, namun memaafkan ibu yang sedang sensitif berjuang melawan penyakit 'misteri'nya.

Aku bermunajat terus kepada Allah. Adakah ini petanda untuk menukar keputusan? Ataukah ini hanyalah dugaan kecil untuk menduga keyakinanku? Terus juga beristikharah, agar ditunjukkan jalan yang terbaik. Syukur Alhamdulillah, suami tegas dengan pendiriannya. Bukan bermakna dia mahu derhaka, tetapi baginya, semua itu boleh diuruskan. Restu ibu yang utama. Menjagi ahlinya tetap perkara terpenting.

Akhirnya kami bertemu jalan tengah. Ibu yang membawa hati di rumah adiknya, kami bawa keluar untuk berbincang empat mata bersama anak harapannya. Setelah dipujuk, ibu bersetuju untuk mengikut kami berpindah. Itu pun setelah dia bersetuju kami carikan seorang pembantu yang akan sentiasa bersamanya waktu aku pergi belajar, dan suami keluar bekerja. Setiap minggu kami akan berulang ke tempat Ibu mendapat rawatan batin. Adik-beradik lain juga bersetuju. Terlerai sudah kusut seminggu dua ini!! Syukur, syukur, syukur.. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Rahman.. :)

Sementara itu, kelulusan daripada universiti majikan telah diterima. Alhamdulillah!! Kini menanti kelulusan pembiaya. Allah rindukan munajatku lagi.. :)

Senarai semakku rupanya bertambah satu lagi, iaitu mendapat restu ibu mertua! Alhamdulillah, sudah diperolehi juga.

Penyelidikan sudah bermula. Suatu tidak terjangka terjadi apabila kerja-kerja menulis notaku selama satu bulan yang disimpan di fail OneNote terhapus dengan dua klik secara tidak sengaja!! Kisahnya di sini.

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

Tuesday, May 1, 2012

7 tahun

Alhamdulillah, puteri sulungku hampir mencecah umur 7 tahun. Jahilnya aku, kewajipan menyuruh anak solat bermula umurnya 7 tahun menurut tahun Hijrah. Namun hingga kini, kurang pasti berapakah umurnya sebenar berdasarkan tahun Hijrah. Lumrahnya, umur adalah lebih cepat meningkat dalam tahun Hijrah berbanding tahun Masehi. Kewajipan sebagai ibu menyuruh anak solat mungkin sudah tersandang kini.

Tercari-cari formula untuk menyuruh anak solat seperti yang disarankan Rasulullah SAW. Buat masa ini, hanya mengajaknya solat bersama, pada waktu Maghrib dan waktu Zohor atau Asar apabila cuti sekolah. Belum lagi menyuruhnya solat 5 waktu sehari. Dapat sehari satu waktu pun sudah bersyukur buat masa ini. Inilah cabarannya apabila bondanya sentiasa sibuk. Tidak dapat tidak, mesti juga mencari masa untuk solat bersama. Satu lagi cabaran baru buatku.

Bertanya juga kawan-kawan yang sudah melalui pengalaman sebegini. Ada yang lebih serius dan tegas. Ada yang lebih santai. Membeli telekung baru dan cantik juga mungkin dapat memberi semangat kepadanya. Masa untuk membeli-belah! :)

Saturday, April 14, 2012

Demam

Seminggu lalu, diduga dengan sakit demam, bermula dari si kecil Sofiyyah. Berjaga malam selama dua, tiga malam berturut-turut mengundang demam urat pada diri sendiri. Tiada apa yang dapat dilakukan selama berada dalam keadaan demam. Kepala yang amat berat dan tumpuan yang tidak dapat difokuskan. Hanya makan ubat dan berbaring atau tidur. Betapa tidak mensyukuri nikmat sihat tubuh badan sebelum ini. Banyak juga kerja-kerja tergendala baik kerja-kerja rumah atau kerja-kerja PhD.

Tidak cukup dengan itu, suami pula demam sehingga terlantar dan muntah-muntah. Memang lesu. Daripada diri yang tidak begitu segar, segera sihat apabila itu berlaku. Bila Hero tumbang, Heroinlah yang kena ambil tugas-tugas penting. Memandu juga sudah tidak dapat dilakukan Heroku. Mencabar sungguh.

Seterusnya yang mengambil giliran berikutnya adalah anak sulung, Khadijah diikuti anak kedua, Aisyah. Wahhh... tersusun rapi. Alhamdulillah, semuanya sudah pulih kini. Cuma Sofiyyah yang masih sakit mulut, manakala Aisyah pula berbaki demam dan sakit tekaknya. Macam-macam ragam dan karenah apabila anak demam ini. Terkorban lagi masa untuk hal-hal lain.

Alahai... sekarang sebelum dapat memulakan lagi langkah, harus menghadapi dahulu kerja-kerja tertunda dan tertangguh, untuk memastikan rumah ini lebih selesa. Moga semuanya dapat diusaikan hari ini agar esok boleh mulakan lagi langkah yang terhenti dengan semangat dan momentum baru. InsyaAllah.

Kayuh perlahan-lahan...

Permudahkanlah, Ya Rabbi.