Showing posts with label Badai. Show all posts
Showing posts with label Badai. Show all posts

Friday, October 31, 2014

Hilang Fokus

Hilang fokus, lalu cuba melupakan keresahan hati dengan aktiviti selain menulis. Sebenarnya agak padat juga diriku dengan aktiviti-aktiviti bukan akademik.

Selain menjalankan perniagaan ibadah dan dakwah atas talian secara santai, aku juga mula menjinakkan diri dengan aktviti sunnah memanah. Latihan individu setiap malam serta latihan berkumpulan setiap minggu cuba dipenuhi dengan istiqamah. Untuk menghilangkan kedahagaan rohani pula, ku teguk ilmu wahyu daripada kuliah talaqqi kitab-kitab jawi fardhu ain daripada tok-tok guru di pondok berdekatan. 

Kerja-kerja rumah serta melayani anak-anak dan suami sudah menjadi tanggungjawab hakiki. Adakah mereka ini aku mahu jadikan alasan beban, walhal banyak aktiviti sampingan yang memenuhi masaku?

Tidak juga. Aku tetap punya waktu khas menulis tesis, selain waktu melakukan aktiviti lain dan menguruskan tanggungjawab.

Oh Allah, bantulah daku.... Kembalikan fokusku. Semangatku. Kesabaranku. Keberanianku.

Pasrah si insan lemah.............................................................

Taufik

Hampir 2 minggu aku tak dapat menulis apa-apa.
Walaupun aku sedar aku kesuntukan masa (hidayah), namun segala sendiku bagaikan terkunci. Tiada kekuatan (taufik). Berapa kali lembaran tesis dibuka tanpa ada sebarang kemajuan. Tutup kembali. Hari esoknya juga begitu. Sehingga berlarutan beberapa hari, membawa kepada minggu ke minggu.

Hati mula rasa berdebar-debar. Benar dugaan buatku. Segalanya terbentang untuk aku sudahi, namun jika tiada kekuatan daripada Ilahi, tiada satu pun dapat kulakukan. Lemahnya hambuMu ini, Ya Rab.

Allahu Akbar! Mungkin aku harus menyembam sujud kepadaMu dalam tangisan taubat dengan lebih kerap lagi. Meratap merayu agar dianugerahi lagi taufik beserta hidayahMu.

Allahu Akbar! Moga mendapat keredhaan drp mereka yg penting buatku, terutamanya suamiku, ibuku, penyeliaku, anak-anakku dan sekalian umat manusia. Dengan siapakah yang aku telah berdosa, hingga tersangkut segalanya? Allahu Rabbi, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini. Ya Allah Ya Rahim, Kau bukakanlah hati mereka memaafkan segala kesalahanku terhadap mereka. Aku dambakan pelayaran yang diredhai dan diberkati.

Laa haw lawalaa quwwata illa billah hil 'aliyil azhiiiim.

Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Amiiiin... Ya rabbal 'aalamin..

Tuesday, April 23, 2013

Permudahkanlah...

Menanti, berdoa dan terus menanti dan terus berdoa, akhirnya berita gembira diterima juga. Pembiaya telah pun meluluskan pertukaranku ke universiti yang kupilih!! Syukur tak terhingga. Mendapat jawapan yang ditunggu, bermulalah pengembaraan kami mencari rumah sewa serta sekolah dan taska anak-anak. Syukur Alhamdulillah, rumah yang termurah walaupun di luar kemampuan kami ditemui. Rumah tersebut pula sudah dilengkapi perabot. Urusan-urusan berkaitan juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Kami juga sepakat untuk menjual perabot-perabot sedia ada dan berpindah dengan hanya membawa pakaian dan keperluan diri sahaja untuk mengurangkan kos.


Sementara itu, kesihatan ibu mertua semakin merosot. Setelah kulit serta mata putihnya bertukar menjadi kuning, ibu mertua akhirnya bersetuju untuk ke hospital bertemu pakar seperti yang disarankan oleh doktor klinik. Sebaik sahaja bertemu pakar, dia terus ditahan untuk bermalam di wad. Hari yang sama, dia menjalani ujian ultrasound untuk mengetahui penyakit yang disyaki. Menurut laporan ultrasound, penyakit ibu mertua ini berat. Dia disyakki sedang berperang dengan kanser pankreas!! Hal ini masih dirahsiakan daripada ibu mertua bagi mengelakkan dia bertukar fikiran dan menerima kejutan.


Ibu mertua diwadkan lebih kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang. Seminggu itu, dia dimasukkan darah dan air untuk memulihkan keadaan dan tenaganya. Dia nampak sangat lemah dari segi fizikal dan juga emosi. Mungkin setiap  hari, berat dia memikirkan penyakitnya itu. Sepanjang seminggu itu juga rutin berubah. Kakak ipar dari Johor datang menjaga ibu mertua bergilir dengan suamiku. Namun begitu, sempat kami ke universiti baruku untuk mendaftar.


Setelah beberapa hari di rumah, ibu mertua dijadualkan untuk menjalan ujian CT scan pula untuk mengetahui kansernya itu tahap keberapa. Laporan CT Scan akan diperolehi dalam masa dua minggu. Seminggu lagi, kami dijadualkan pindah ke tempat baru. Adik-beradik suamiku telah bersetuju untuk memindahkan perubatan ibu mertua ke hospital di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan penjagaannya.



Senarai semakku berubah drastik kini...



Senarai semak 2013:

1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (Selesai, Alhamdulillah)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)(Selesai, Alhamdulillah)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru(Selesai, Alhamdulillah)
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.


Satu perkara yang merunsingkanku.... Semangat berjuang melayar bahtera PhD ini semakin luntur. Oh Tidak!

Tuesday, March 19, 2013

OneNote... Kabooom! Finito..

Aku bertemu dengan Microsoft OneNote sebulan lalu. Setelah mendapatkannya secara percuma di internet, sungguh teruja untuk menggunakannya. Sebuah buku rujukan utama dibaca secara istiqamah dan segala nota penting dicatatkan di dalam fail OneNote itu.

Apabila merasakan mudahnya menggunakan OneNote ini, aku mahu menggunakan pula untuk perkara peribadi. Aku cuba salin dan simpan do dalam fail lain dan memadamkan nota-nota terdahulu yang aku buat untuk mengasingkan fail peribadi dengan fail kerja PhD. Rupa-rupanya, walaupun disimpan di dalam fail berlainan tetapi hakikatnya semua notebook disimpan di fail yang sama. Apabila dipadamkan nota dalam fail peribadi, fail kerja PhD juga terpadam!!

Ohhhh... tidak!! Hampir pitam dan terasa putus asa mengenangkan masa yang dikorbankan untuk mencatat nota-nota tersebut dalam masa sebulan. Tetapi aku hanya tersenyum dengan kejutan dan kasih sayang Allah ini. Dia mahu aku rehat dan berhenti seketika serta muhasabah diri. Sehari aku tidak dapat berbuat apa-apa kerana cuba menyembuhkan rasa kecewa ini. Kecewa dan terkejut. Namun di bibir hanya tersenyum. Dan lidah menyebut Astaghfirullah.

Sementara itu, aku lebih berhati-hati menggunakan OneNote. Alhamdulillah, hikmahnya apabila nota-nota terpadam, aku lebih mahir dan faham menggunakan OneNote. Syukur. :)

Masa untuk bangkit semula dan mula lagi! Yoshhhh...

Kusut Terlerai

Badai kali ini melanda melibatkan perkara yang lebih besar. Rupa-rupanya restu dan persetujuan suami untuk berpindah hampir dengan universiti mendapat tentangan daripada ibunya sendiri. Ibunya yang baru menghidapi sakit yang agak berat, terusik hati apabila anakndanya tempat dia bergantung berhasrat untuk berpindah. Sakit ibu tidaklah menyebabkan dia terlantar kesakitan, tetapi tanda-tanda yang tidak normal berlaku, mulai timbul. Yang lebih menyulitkan ialah ibu tidak berani untuk berdepan dengan kenyataan dan berhasrat untuk tidak bertemu doktor untuk mengetahui sakitnya yang sebenar dan membiarkan penyakit sebagai satu misteri. Sebaliknya berubat secara batin sahaja. Perkara ini terlindung dan tidak diluahkan secara terang sehingga kami menjadi bingung mengapa saudara-mara seolah-olah mendoakan kami tidak akan dapat pindah. Campurtangan daripada adik-beradik yang lain juga mengusutkan kepala yang sedang berserabut. Yang lebih menyedihkan, suami dituduh melebihkan isteri daripada ibu sendiri. Walhal duduk perkara sebenar tidak dibincangkan.

Berkat isteri bergantung kepada restu suami. Manakala sejahtera anak lelaki bersandar kepada redha ibu! Kusut.. Kami sudah mengajak ibu ikut bersama kami, namun dia memilih untuk tetap bersama adiknya yang tinggal berhampiran rumah kami kini. Memang hati kecil ini senang tersinggung apabila itu terjadi, namun memaafkan ibu yang sedang sensitif berjuang melawan penyakit 'misteri'nya.

Aku bermunajat terus kepada Allah. Adakah ini petanda untuk menukar keputusan? Ataukah ini hanyalah dugaan kecil untuk menduga keyakinanku? Terus juga beristikharah, agar ditunjukkan jalan yang terbaik. Syukur Alhamdulillah, suami tegas dengan pendiriannya. Bukan bermakna dia mahu derhaka, tetapi baginya, semua itu boleh diuruskan. Restu ibu yang utama. Menjagi ahlinya tetap perkara terpenting.

Akhirnya kami bertemu jalan tengah. Ibu yang membawa hati di rumah adiknya, kami bawa keluar untuk berbincang empat mata bersama anak harapannya. Setelah dipujuk, ibu bersetuju untuk mengikut kami berpindah. Itu pun setelah dia bersetuju kami carikan seorang pembantu yang akan sentiasa bersamanya waktu aku pergi belajar, dan suami keluar bekerja. Setiap minggu kami akan berulang ke tempat Ibu mendapat rawatan batin. Adik-beradik lain juga bersetuju. Terlerai sudah kusut seminggu dua ini!! Syukur, syukur, syukur.. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Rahman.. :)

Sementara itu, kelulusan daripada universiti majikan telah diterima. Alhamdulillah!! Kini menanti kelulusan pembiaya. Allah rindukan munajatku lagi.. :)

Senarai semakku rupanya bertambah satu lagi, iaitu mendapat restu ibu mertua! Alhamdulillah, sudah diperolehi juga.

Penyelidikan sudah bermula. Suatu tidak terjangka terjadi apabila kerja-kerja menulis notaku selama satu bulan yang disimpan di fail OneNote terhapus dengan dua klik secara tidak sengaja!! Kisahnya di sini.

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

Thursday, February 21, 2013

Syukurrr

Alhamdulillah, Allah memberi jalan keluar apabila ditunjukkan usaha mencari rumah dan sekolah anak-anak, suami mula lembut hati dan bersetuju untuk pindah!! Ya, Allah... bagai tidak percaya.

Alhamdulilah, Allah permudahkan kelulusan daripada dekan dan juga universiti tempat berkhidmat. Kelulusan dan komitmen secara verbal telah diterima daripada universiti.

Namun sedikit masalah berkaitan kelulusan pembiaya kerana melihat kepada situasi terkini, kelewatan adalah dijangkakan. Ya, Allah.. tunjukkanlah kuasaMu dan permudahkanlah segalanya.

Alhamdulillah, Allah permudahkan dan memberi bantuanNya dengan menghantar pertolongan melalui kawan dan saudara untuk mencari rumah dan sekolah.

Alhamdulillah, progres setakat hari ini... Sungguh, jika kita berharap hanya kepadaNya, hati lebih tenang, segalanya lebih mudah dilalui walaupun tidak sunyi daripada liku-liku sepanjang perjalanan. Syukurrrr..

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (ditandatangani dekan, menanti kelulusan)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

Saturday, February 16, 2013

Senarai Semak 2013

Alhamdulillah, tiada kata dapat terluahkan selain syukurku kepada Rabbal Alamin apabila menerima surat tawaran tiga hari lalu daripada universiti yang bakal aku masuki! Syukur.. syukur.. syukur..

Namun tawaran ini tidak datang hanya membawa berita gembira, tetapi juga memberi amaran keras bahawa ini adalah peluang terakhir! Tempoh pengajian juga hanya diberikan setakat dua tahun, iaitu baki daripada tempoh pengajian asalku. Syaratnya juga, aku tidak akan diterima masuk selagi tidak mendapat kelulusan pihak pembiaya. Apa pun, bagiku peluang inilah yang harus aku manfaatkan sebaiknya.

Syarat tambahan yang diberikan oleh bakal penyelia pula ialah aku harus menelaah dan membuat penyelidikan di universiti sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Memandangkan rumah dan kampus berjarak dua jam perjalanan darat, ini memberi cabaran baru buatku. Bagaimanakah sebaiknya aku harus menyusun perjalanan, waktu belajar serta anak dan suamiku? Suamiku tidak bersetuju untuk aku menyewa sendiri dan tinggal berhampiran kampus selama tiga hari seminggu. Dia lebih rela berulang alik setiap hari! Hal ini telah menimbulkan rasa kurang senang kepada bakal penyelia. Baginya aku tidak cukup komited.

Ya Rab! Aku tersepit di antara menjaga adabku dengan guru dan menjaga hati serta mentaati suami. Berilah jalan keluar kepada hambaMu yang serba lemah ini..

Dalam pada itu, tarikh tutup untuk mendaftar ke semester baru di universiti yang bakal kutinggalkan hampir tiba. Aku tidak dapat menarik diri sebelum segalanya selesai. Harus pula memohon untuk penangguhan pendaftaran.

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (menanti dekan masuk pejabat untuk tandatangan)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (masih berdoa siang malam)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

Inilah rupanya PhD. Pengurusan dunia luaran yang lebih penting untuk benar-benar fokus!

Pengajaran paling berharga dalam hidupku dalam pelayaran ini.

Tiada siapa yang dapat kuadukan segala kesulitanku, melainkan hanya padaMu Ya Latif.
Kau permudahkanlah dan makbulkanlah doa-doaku, serta redhai, rahmati dan berkatilah usahaku.

Mohon pembaca-pembaca entri, walau di mana pun kalian, untuk mengAminkan doaku ini...

Friday, February 1, 2013

Bantuan daripadaNya..

Permohonan untuk memasuki universiti baru telah selesai. Kini menanti jawapan, moga-moga dibalas dengan surat tawaran. Bakal penyelia di universiti baru cuba mengusahakan agar Timbalan Naib Canselor mempertimbangkan permohonanku. Mereka meminta agar pembiaya biasiswaku memberi lampu hijau terlebih dahulu. Namun, aku hanya akan memohon kepada pembiaya biasiswa sekiranya diterima masuk ke universiti baru. Seperti kes ayam dan telur. Yang mana satu dahulu? Mujur, Allah ilhamkan kepada penyelia yang bakal menerimaku untuk mencadangkan tawaran bersyarat. Syaratnya aku hanya akan diterima masuk sekiranya diberi keizinan oleh pembiaya biasiswa. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya proses penukaran universiti ini belum buntu dan dapat diteruskan.

Sementara itu, aku menanti surat tawaran dengan hati berdebar-debar. Aku faham, ia mungkin mengambil sedikit masa. Dalam situasi yang agak stres buatku, aku dikirimkan Allah bantuan melalui makhluknya. Pertama, ada sahabat di fesbuk yang berkongsi hadith:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.
MasyaAllah, Allah mahu aku terus bersabar dan bermunajat kepadanya. Bagaimana pula doa ini tidak makbul padahal keputusan menukar penyelia dan universiti itu dijawab Allah daripada Istikharahku? Sabar.. Sabar.. Sangka baik dan Yakinlah wahai diri..

Kedua, penulis blog yang telah pun mendapat PhD bercerita yang PhD bukanlah sesuatu yang stres, tetapi reaksi kita kepada dunia luaran yang membuatkan kita stres; seperti kisahnya di sini.

Benar katanya. Selagi kita merasa ia sesuatu yang boleh diatasi, pasti kita boleh tenang dan menyusun semula langkah untuk menghadapi apa jua situasi. SubhanAllah. Terima kasih, Allah. HidayahMu buat hambaMu yang daif ini.

Selain menanti dan berdoa, kuteruskan juga memulakan langkah lagi untuk tajuk yang disarankan oleh bakal penyelia. Sedikit, sedikit.. moga-moga jadi bukit!

Permudahkanlah, Ya Rahim! Amiiin.

Friday, January 18, 2013

Jawapan Istikharah

Sesuatu tidak terduga sedang berlaku. Pelayar bakal menukar penyelia yang berada di universiti berbeza. Ini bermakna proses memohon ke universiti terpaksa dilakukan semula! Fuhh.. dugaan. Setelah setahun belayar, harus menukar arah dan bermula semula.

Namun itulah jawapan daripada istikharahku. Keluarga semuanya memahami dan memberi sokongan. Alhamdulillah. Permudahkanlah Ya Rab!

Nota: Emosi yang tidak menentu dengan perasaan bercampur-campur. Sungguh Allah mahu aku hampir dan meminta daripadaNya selalu..

Friday, May 4, 2012

Badai

Kebelakangan ini, bertemu dengan kisah pelayaran PhD yang dilanda BADAI yang hebat...

Kisah 1
Seorang kenalan yang asalnya menyambung silaturrahim melalui hinggapan blog. Masih dalam perjuangan menyudahkan PhDnya, didapati mempunyai komplikasi pada kepala, mungkin juga otaknya. Beliau seorang yang terkenal sungguh aktif dan bijak mengendalikan banyak tugasan dalam satu-satu masa, kini tidak boleh terlalu stres. Mungkin ada ketika yang beliau terpaksa menumpukan perhatian kepada rawatan, di samping tugasan-tugasan PhD.

Kisah 2
Seorang kenalan yang dijadualkan tamat PhD di Jepun pada bulan September ini, mendapati ibunya di Malaysia sedang berjuang melawan barah servik yang kini telah merebak ke tahap 4! PhD itu tanggungjawab dan impian. Ibu pula hanya seorang di dunia dan akhirat ini. Beliau memutuskan untuk pulang ke tanahair menziarah ibunya setiap bulan.

Ya Allah, besarnya badai yang melanda mereka!! Moga kau cekalkan hati-hati mereka dan permudahkanlah mereka mengharunginya. Kau kurniakanlah segala yang terbaik buat mereka. Amiiin.

Moga dipermudahkan pula pelayaranku ini.. Amiiin.

Saturday, April 14, 2012

Demam

Seminggu lalu, diduga dengan sakit demam, bermula dari si kecil Sofiyyah. Berjaga malam selama dua, tiga malam berturut-turut mengundang demam urat pada diri sendiri. Tiada apa yang dapat dilakukan selama berada dalam keadaan demam. Kepala yang amat berat dan tumpuan yang tidak dapat difokuskan. Hanya makan ubat dan berbaring atau tidur. Betapa tidak mensyukuri nikmat sihat tubuh badan sebelum ini. Banyak juga kerja-kerja tergendala baik kerja-kerja rumah atau kerja-kerja PhD.

Tidak cukup dengan itu, suami pula demam sehingga terlantar dan muntah-muntah. Memang lesu. Daripada diri yang tidak begitu segar, segera sihat apabila itu berlaku. Bila Hero tumbang, Heroinlah yang kena ambil tugas-tugas penting. Memandu juga sudah tidak dapat dilakukan Heroku. Mencabar sungguh.

Seterusnya yang mengambil giliran berikutnya adalah anak sulung, Khadijah diikuti anak kedua, Aisyah. Wahhh... tersusun rapi. Alhamdulillah, semuanya sudah pulih kini. Cuma Sofiyyah yang masih sakit mulut, manakala Aisyah pula berbaki demam dan sakit tekaknya. Macam-macam ragam dan karenah apabila anak demam ini. Terkorban lagi masa untuk hal-hal lain.

Alahai... sekarang sebelum dapat memulakan lagi langkah, harus menghadapi dahulu kerja-kerja tertunda dan tertangguh, untuk memastikan rumah ini lebih selesa. Moga semuanya dapat diusaikan hari ini agar esok boleh mulakan lagi langkah yang terhenti dengan semangat dan momentum baru. InsyaAllah.

Kayuh perlahan-lahan...

Permudahkanlah, Ya Rabbi.

Friday, March 9, 2012

Sebulan pertama

Melalui bulan pertama pelayaran PhD. Semuanya masih serba-salah, serba tak kena. Ada kerisauan yang entah kenapa...

Chapter 1 harus dihantar minggu depan. Masih berbaki sedikit lagi. Namun hasil setakat ini masih belum memuaskan hati. Sekadar mengulas ide baru yang dikehendaki penyelia kerana tajuknya harus ditukar agar lebih realistik.

Semalam sepatutnya menghabiskan bahagian terakhir Chapter 1, namun terbantut kerana emelku digodam. Aduhaiii! Bertungkus-lumus pula cuba menyelamatkan akaun emel yang telah disalahgunakan atas namaku. Namun gagal. Segalanya telah ditukar termasuk kata kunci dan akaun tersebut telah dipadamkan terus. Blog terdahulu yang menyimpan seribu kenangan terhapus bersama akaun itu. Innalillah.

Hari ini seharusnya memecut menghabiskan tugasan. Ohhh lebih sukar pula kerana cahayamata yang bertiga cuti ke taska dan tadika hari ini. Harus dahulukan mereka.

Ops! Mereka harus diberi makan tengahari. Bersambung semula nanti...