Showing posts with label Urus Diri. Show all posts
Showing posts with label Urus Diri. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

Huru-Hara

Aku dapati pengurusan diri serta pengurusan tanggungjawab-tanggungjawab yang terpikul di bahuku masih lagi huru-hara. Tugas mengurus suami dan anak-anak, mengurus rumahtangga, mengurus pengajian, mengurus perniagaan dan diri sendiri (zahir dan batin), masih tidak optima.

Aku mohon kepada Allah agar memberi taufik dan hidayah untukku uruskan semuanya dengan baik. Tunjukkanlah jalan yang lurus serta lindungilah aku, Ya Rabb.. Amiiin.

Friday, December 21, 2012

Ba.. ba.. chak!

Astaghfirullah, lama sungguh tidak menjenguk ke bahtera ini! Atas sebab-sebab tertentu, semuanya harus terhenti buat seketika. Alhamdulillah, pelayaran PhDku masih diteruskan. Cuma terhenti menulis di sini.

Kini rupa-rupanya aku dlm bulan ke duabelas pelayaran. MasyaAllah. Pantas sungguh masa berlalu. 

Kolokium PhD yang dianjurkan bulan Ogos lalu betul-betul menjadi titik tolak kepada pelayaranku. Mana tidaknya, aku bagai diberi satu kejutan dari lena yang panjang! Banyak teknik dan target yang tersasar sebelum ini, harus dikembalikan ke landasan yang betul. Mencari ilmu tanpa guru ini memang mudah hanyut. Umpama pelayaran tanpa kompas dan nakhoda. Oh! Sekarang aku sedar, peringkat ini aku harus pergi ke seberapa banyak bengkel penyelidikan untuk mendapat tunjuk ajar daripada guru yang pakar seterusnya mendorong motivasi diri.

Dan seperkara yang lebih besar telah terjadi ialah, aku sudah menukar topik! Daripada Kewangan Islam kepada Mikro Kewangan Islam. Walaupun nampaknya seperti tidak banyak beza, pendekatannya dan pendedahan yang harus diteliti agak banyak berbeza. Semuanya harus bermula sekali lagi!! REFRESH dan RESTART!

Beberapa perkara yang aku pelajari setakat ini berkenaan urus masa dan urus diri:
1) Dalam membuat perancangan, banyak faktor yang harus diambil kira. Contohnya bulan Ramadhan bila mana tidak banyak masa boleh diluangkan untuk membuat kerja-kerja PhD kerana secara automatik kita akan menjadi tamak pahala untuk merebut peluang melakukan ibadah-ibadah khusus di bulan Ramadhan. Selain itu, persiapan menghadapi perayaan juga mengambil masa.

2) Bulan-bulan perayaan serta cuti sekolah anak-anak perlu juga diambil kira dalam jadual dan perancangan. Waktu-waktu begitu harus dipenuhi dengan layanan mesra kepada anak-anak serta saudara-mara. Tidak dapat untuk menyendiri dan mementingkan diri. Memang semuanya akan terhalang serta diri akan menjadi stres. Lebih baik jika bulan-bulan ini dimasukkan dalam jadual agar kerja-kerja PhD dapat diusaikan dengan segera sebelum tibanya bulan-bulan tersebut, dan tidak terlebih optimis untuk memperuntukkan jam yang lebih untuk bekerja, namun sentiasa tidak dapat tercapai. Bulan perayaan bukan bererti terus bercuti daripada kerja PhD (inilah kesilapan yang telah dilakukan), tetapi menyingkatkan waktu bekerja.

3) Target sepanjang pengajian haruslah dibahagikan kepada semester, bulan dan minggu. Perancangan setiap semester dibuat di awal pengajian. Manakala jadual dan target bulanan serta mingguan pula hanya akan dibuat apabila tiba semester dan bulan berkenaan. Contohnya, bila tiba semester dua, barulah target 6 bulan dalam semester dua itu dibuat. Apabila tiba bulan pertama dalam semester dua, barulah target mingguan bulan itu dibuat. Alhamdulillah, ilmu yang dikutip daripada salah satu bengkel penyelidikan juga. Apabila target tercapai, walau apa pun gangguan yang tiba motivasi boleh tetap tinggi.

4) Komunikasi kepada ahli keluarga terutamanya suami harus beres. Mesti terangkan hingga dia mengerti akan target yang ingin kita capai serta halangan-halangan yang bakal ditempuh. Selalunya, jika dia faham, pasti seratus peratus sokongan akan diberikan. Contohnya sepanjang cuti sekolah kali ini, suami mengawasi anak-anak daripada mengganggu waktu aku sedang bekerja. Syukur!

5) Amanah-amanah lain harus diselesaikan bersekali dengan amanah PhD ini. Mohon doa daripada Allah agar dipermudahkan menjalani amanah-amanah yang dipikulkan ke bahu kita. Sekiranya amanah-amanah lain kita abaikan, memang Allah akan sukarkan kita untuk menunaikan amanah PhD pula. Tidak boleh mementingkan diri semata, sebaliknya mohon bantuan untuk melaksanakan kesemuanya sesempurna mungkin. Bergantunglah pada Allah sepenuhnya. InsyaaAllah, dia sentiasa bersama kita

Yang penting harus ingat, jika tidak waktu cuti belajar sepenuh masa yang diberikan ini, kita tidak akan ada masa lagi selepas ini untuk menyudahkan pengajian PhD!!

Cukup dulu sesi melepas rindu. Akan disambung ke entri Research Problem dan Literature Review pula, insyaaAllah.

Nota: Pokok bunga matahari aku gagal tumbuh. Pokok bunga raya pula berbunga lebat. Serai, limau purut, halia, lengkuas dan kunyit tumbuh dengan baik, cuma masih belum cukup besar untuk dimakan hasilnya. Inilah yang bakal menjadi tanda ingatan apabila aku selesai PhD kelak. Pertumbuhan pokok-pokok ini sama dengan pertumbuhan PhDku! :)

Wednesday, May 9, 2012

Lombong Emas

Alhamdulillah, bertemu sesuatu yang kukira "lombong emas" dalam penulisan tesis. Terima kasih kepada seorang sahabat yang hampir mengusaikan PhD kerana memperkenalkanku kepada dua laman web yang amat-amat berguna, iaitu DROTSPSS dan 3MonthThesis. 

Daripada Dr OT (Othman Talib), blognya menjadi kunjungan tetap ku setiap hari. Ebook penulisan tesis cepat juga telah selamat kubeli dan muat turun. Bengkel yang dianjurkannya Ahad ini juga telah aku daftar untuk sertai. Bagiku, ini semua adalah pelaburan untuk menuju puncak kejayaan. Semuanya menambah keyakinan diri ku. Syukur Alhamdulillah. Moga-moga inilah bantuan daripada Ya Rahman unutk memudahkanku menyempurnakan tanggungjawab yang satu ini.

Cuma aku sedar, walaupun sudah ada panduan dan tips, segalanya akan jadi sia-sia jika tiada usahaku sendiri untuk memulakan langkah pertama hingga ke garisan penamat. Itu semua hanya akan mungkin berlaku dengan kuasa dan bantuan Yang Maha Esa semata-mata.

Semoga semangat baru yang membara-bara ini terus marak menyala hingga ke akhirnya, insyaAllah.

Ke garisan... sedia... mula!! (Baru mula nak baca ebook sebenarnya. Hehehe).

Tuesday, May 1, 2012

7 tahun

Alhamdulillah, puteri sulungku hampir mencecah umur 7 tahun. Jahilnya aku, kewajipan menyuruh anak solat bermula umurnya 7 tahun menurut tahun Hijrah. Namun hingga kini, kurang pasti berapakah umurnya sebenar berdasarkan tahun Hijrah. Lumrahnya, umur adalah lebih cepat meningkat dalam tahun Hijrah berbanding tahun Masehi. Kewajipan sebagai ibu menyuruh anak solat mungkin sudah tersandang kini.

Tercari-cari formula untuk menyuruh anak solat seperti yang disarankan Rasulullah SAW. Buat masa ini, hanya mengajaknya solat bersama, pada waktu Maghrib dan waktu Zohor atau Asar apabila cuti sekolah. Belum lagi menyuruhnya solat 5 waktu sehari. Dapat sehari satu waktu pun sudah bersyukur buat masa ini. Inilah cabarannya apabila bondanya sentiasa sibuk. Tidak dapat tidak, mesti juga mencari masa untuk solat bersama. Satu lagi cabaran baru buatku.

Bertanya juga kawan-kawan yang sudah melalui pengalaman sebegini. Ada yang lebih serius dan tegas. Ada yang lebih santai. Membeli telekung baru dan cantik juga mungkin dapat memberi semangat kepadanya. Masa untuk membeli-belah! :)

Saturday, April 14, 2012

Demam

Seminggu lalu, diduga dengan sakit demam, bermula dari si kecil Sofiyyah. Berjaga malam selama dua, tiga malam berturut-turut mengundang demam urat pada diri sendiri. Tiada apa yang dapat dilakukan selama berada dalam keadaan demam. Kepala yang amat berat dan tumpuan yang tidak dapat difokuskan. Hanya makan ubat dan berbaring atau tidur. Betapa tidak mensyukuri nikmat sihat tubuh badan sebelum ini. Banyak juga kerja-kerja tergendala baik kerja-kerja rumah atau kerja-kerja PhD.

Tidak cukup dengan itu, suami pula demam sehingga terlantar dan muntah-muntah. Memang lesu. Daripada diri yang tidak begitu segar, segera sihat apabila itu berlaku. Bila Hero tumbang, Heroinlah yang kena ambil tugas-tugas penting. Memandu juga sudah tidak dapat dilakukan Heroku. Mencabar sungguh.

Seterusnya yang mengambil giliran berikutnya adalah anak sulung, Khadijah diikuti anak kedua, Aisyah. Wahhh... tersusun rapi. Alhamdulillah, semuanya sudah pulih kini. Cuma Sofiyyah yang masih sakit mulut, manakala Aisyah pula berbaki demam dan sakit tekaknya. Macam-macam ragam dan karenah apabila anak demam ini. Terkorban lagi masa untuk hal-hal lain.

Alahai... sekarang sebelum dapat memulakan lagi langkah, harus menghadapi dahulu kerja-kerja tertunda dan tertangguh, untuk memastikan rumah ini lebih selesa. Moga semuanya dapat diusaikan hari ini agar esok boleh mulakan lagi langkah yang terhenti dengan semangat dan momentum baru. InsyaAllah.

Kayuh perlahan-lahan...

Permudahkanlah, Ya Rabbi.

Sunday, April 8, 2012

Berapa jamkah?

Tertanya, berapa jamkah dalam sehari perlu diperuntukkan untuk kerja-kerja PhD?

Buat masa ini, masih tidak tetap bilangan jamnya. Namun, sedaya-upaya cuba untuk tidak meninggalkan sehari tersebut tanpa melakukan apa-apa yang menyumbang kepada kajian PhD.

Pernah beberapa hari diri disibukkan sehingga tidak menyentuh lansung kerja-kerja berkaitan dalam sehari. Selalunya terjadi pada hujung minggu bilamana anak-anak semuanya ada di rumah. Tetapi perkara itu tidak dibiarkan berlarutan lebih tiga hari. Penyesalan dan rasa bersalah sentiasa menghantui. :) Barulah faham mengapa sesetengah pelajar peringkat PhD mengatakan tidak ada cuti dalam tempoh melakukan PhD.

Moga terus beristiqamah.. dan hijrah ke arah yang lebih baik.

p/s: Tips yang berguna amatlah dialukan.

Saturday, April 7, 2012

Bebas dan Disiplin

Masuk bulan kedua melayar bahtera PhD, nampaknya masih gagal mendapatkan ritma dan rentak jadual pelayaran yang sesuai. Masih berhempas-pulas membahagikan masa antara kerja-kerja PhD, keluarga dan hal-hal lain. Rupa-rupanya cabaran yang disertakan dengan kebebasan bekerja ini memang hebat. Disiplin diri adalah kunci utamanya. Ohhh.. jika waktu pengajian peringkat terdahulu, semuanya lebih teratur dengan jadual kuliah, tarikh-tarikh penting tugasan serta ujian dan peperiksaan. Kini semuanya harus dilakukan sendiri. Terasa benar pengajian ini adalah buat orang dewasa. (Betapa belum dewasa diri ini sebelum ini, ya? Hehehe)

Setakat ini, cuba memaksimakan masa sebelum subuh, petang dan malam. Sebelah pagi kebiasaannya diri disibukkan dengan bermacam-macam hal. Yang merunsingkan, selalu saja tidak terbangun sebelum subuh seperti yang dirancang! Kadang-kala kerana keletihan. Ada juga waktu-waktu tengah malam yang harus berjaga apabila si kecil meragam. Aduhaiii... Petang juga begitu. Urusan sebelah pagi sering sahaja berlanjutan hingga ke petang. Masih harus lebih bersungguh-sungguh.

Moga Allah permudahkan segala urusan.