Showing posts with label Hobi. Show all posts
Showing posts with label Hobi. Show all posts

Tuesday, March 19, 2013

Ikut Sunnah

Jika tahun pertama aku mengisi masa terluang dengan bercucuk tanam, tahun kedua ini aku dapati minatku cenderung berniaga secara online. Secara suka-suka, aku telah pun mendaftarkan satu perniagaan yang menjual barangan ibadah, sunnah dan sebagainya. Di samping hobi dan menambah ekonomi keluarga, perniagaan ini juga adalah dakwahku untuk mengajak muslimin muslimat beribadah dan mengikut syariat Allah.

Moga pekerjaan mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW ini mendapat keberkatan dan keredhaanNya. Amiiin.

Saturday, April 7, 2012

Sawi Menang dan Bunga Matahari

Semalam, sempat menggemburkan tanah dan menabur benih-benih sawi menang. Ini adalah kali pertama menanam sawi. Bagaimana agaknya hasilnya nanti, ya? Sawi bukanlah sesuatu yang minat untuk dimakan atau ditanam. Jika tumbuh baik, Alhamdulillah.

Hari ini pula, benih bunga matahari yang disemai dalam beg plastik berisi tanah lembab telah dipindahkan ke atas tanah. Hah! Menanti pertumbuhan bunga matahari ini dengan penuh debaran!!

Sementara itu, lengkuas dan halia sudah mula bercambah daun muda. Sukanya di hati tidak terkira. Kunyit pula baru mahu bercambah putik. Bunga raya sudah berbunga dua kuntum. Namun cepat sungguh layu, terutamanya pokok itu masih rendah dan hampir dengan tanah. Limau purut pula tumbuh dengan penuh bergayanya.

Alhamdulillah atas rezekimu, Ya Rahman!

Friday, March 30, 2012

Hobi Baru

Semenjak perubahan rutin kepada pelajar siswazah sepenuh masa, saya bertemu hobi baru; iaitu bercucuk tanam. Sebenarnya tiada apa-apa pengalaman, cuma pernah membantu Atok bertanam kacang panjang, ubi kayu, pucuk manis dan jagung waktu kecil dulu. Atok suka mengajak saya menanam jagung, kerana katanya biar biji-biji jagung rapat-rapat seperti gigi saya.

Setelah dewasa, tiada banyak peluang bercucuk tanam. Pernah sekali menanam pokok inai, kari dan pandan di halaman rumah ibu. Setelah rumah ibu diperbesar, pokok-pokok itu pun lenyap. Sewaktu sudah bekerja dan tinggal di rumah sendiri pula, tiada tempat bercucuk tanam di kawasan apartment. Setelah berkahwin juga begitu. Apabila dinyatakan hasrat untuk bercucuk tanam, suami tidak berapa menggalakkan. Mungkin kerana latar belakangnya sebagai orang bandar, jarang sekali menjalankan aktiviti bercucuk tanam.

Baru-baru ini, bernasib baik kerana rumah yang baru kami diami ini ada sedikit kawasan tanah di tepi pagar hadapan. Dari situlah saya bermula. Mulanya menanam serai, halia, lengkuas dan kunyit. Namun serai yang berdaun. yang lain-lain tidak menjadi kerana salah teknik. Hehehe. Amalan tanpa ilmu! Kemudian saya beli pula anak pokok di pasar. Bunga raya warna merah jambu serta limau purut. Alhamdulillah, rezeki Allah dari bumi. Hari ini, pokok limau purut saya sudah tumbuh sejengkal sejak ditanam tempohari. Bunga raya pula sudah berputik! Tak sabar rasanya hendak melihat bunga tersebut kembang mekar.

Percubaan kedua menanam halia, lengkuas dan kunyit bermula beberapa minggu lepas dengan sedikit tambahan ilmu. Setakat ini juga, halia sudah berputik. Begitu juga lengkuas. Tinggal kunyit yang belum nampak apa-apa lagi. Apa-apa pun, hati sangat-sangat gembira melihat pertumbuhan tanaman-tanaman tersebut!

Semalam juga. pesanan benih bunga matahari telah sampai. Teruja yang amat sangat mula menyemai lima biji benih ke dalam plastik berisi tanah. Hanya diletakkan di tepi tingkap di dapur. Menurut pembacaan, biji bunga matahari mudah dimakan burung, jadi saya cuba dulu menanam di dalam rumah. Moga pencahayaan yang diterima dari tingkap dapur itu mencukupi untuk bercambah.

Puas hati dengan hobi baru ini. Moga-moga usaha berhasil!