Saturday, March 5, 2016

Imbas Kembali - Viva

Setelah menyerahkan tesis, fokusku tertumpu kepada pekerjaan yang masih belum sebati dengan jiwa. Masih terkial-kial mengurus masa. Masih bertungkus-lumus menyiapkan tugasan mengikut jadual.

Apabila diberitahu akan tarikh Viva, hati berbunga. Namun, fokus masih pada kerja. Terlalu berat beban yang terpikul dirasakan apabila diberikan dua kursus berbeza untuk diajar dan diperiksa kertas peperiksaan pelajar-pelajar. Allahu Akbar. Ujian hingga ke garisan penamat.

Seminggu sebelum Viva, masih tiada tumpuan pada tesis. Mujur, penginapan dan cuti telah diuruskan untuk berjuang untuk kali terakhir. Hanya doa mampu diungkapkan. Slaid pembentangan Viva juga hanya mula dibuat malam sebelum Viva berlangsung, di bilik hotel. Astaghfirullah. Aku pasrah.

Tarikh 3 Januari 2016 akhirnya tiba. Tarikh  yang dinanti setelah 4 tahun berkorban. Sebelah paginya, aku sendiri di bilik, membelek slaid yang masih 'panas'.

SubhanAllah. Maha Suci Allah. Jika ditakdirkan itu rezekiku, tiada yang dapat menghalangnya. Walaupun, tergugat pendirianku dengan soalan-soalan maut daripada pemeriksa, akhirnya aku lulus PhD dengan pembetulan minor, setelah kurang daripada sejam di bilik 'sejuk' itu.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Walaupun hati seakan-akan kebas, tiada berasa apa-apa. Minda seakan beku, tak percaya. Aku terima rezekiMu Ya Rabb.

Syukur. Baiknya Allah. Nikmat tanpa batas buat seorang pendosa.

Imbas Kembali - Penyerahan Tesis

MasyaaAllah. Blog yg sudah bersawang! :)
Kerana rasa bersalah menulis selain tesis, blog ini ditinggalkan sepi.

Apa pun, ku bersyukur ke hadratNya. Walaupun usai tempoh 3 tahun, ditambah tempoh tambahan selama 6 bulan, bersambung pula menyudahkan tesis dalam kesibukan bekerja sesudah itu, selesai juga akhirnya.

Pada hari penyerahan tesis, pelbagai dugaan ditempuhi. Berkampung seharian di perpustakaan kerana mendapat tahu perubahan pada format terkini. SubhanAllah. Ujian tak disangka. Namun dikirim juga insan-insan berhati mulia untuk membantu. Sang Suami yg setia mengiringi perjalanan dan menemani. Teman yang hadir di sisi memberi semangat dan panduan terakhir. Pentadbir di pejabat yang amat memahami. Petugas yang mencetak tesis sabar dengan karenahku. Sahabat yang sudi membantu menyerahkan tesis yang telah disiapkan tetapi terpaksa ditinggalkan kerana pejabat telah tutup dan anak-anak menanti di rumah yang jauh.

Dengan izinNya, tesis disiapkan pada 30 September 2015 dan diserahkan oleh sahabat setia pada 1 Oktober 2015.

Syukur.. Syukur.. Syukur.. yang tiada hingga.

Alhamdulillah. Baiknya Allah :)

Friday, October 31, 2014

Hilang Fokus

Hilang fokus, lalu cuba melupakan keresahan hati dengan aktiviti selain menulis. Sebenarnya agak padat juga diriku dengan aktiviti-aktiviti bukan akademik.

Selain menjalankan perniagaan ibadah dan dakwah atas talian secara santai, aku juga mula menjinakkan diri dengan aktviti sunnah memanah. Latihan individu setiap malam serta latihan berkumpulan setiap minggu cuba dipenuhi dengan istiqamah. Untuk menghilangkan kedahagaan rohani pula, ku teguk ilmu wahyu daripada kuliah talaqqi kitab-kitab jawi fardhu ain daripada tok-tok guru di pondok berdekatan. 

Kerja-kerja rumah serta melayani anak-anak dan suami sudah menjadi tanggungjawab hakiki. Adakah mereka ini aku mahu jadikan alasan beban, walhal banyak aktiviti sampingan yang memenuhi masaku?

Tidak juga. Aku tetap punya waktu khas menulis tesis, selain waktu melakukan aktiviti lain dan menguruskan tanggungjawab.

Oh Allah, bantulah daku.... Kembalikan fokusku. Semangatku. Kesabaranku. Keberanianku.

Pasrah si insan lemah.............................................................

Taufik

Hampir 2 minggu aku tak dapat menulis apa-apa.
Walaupun aku sedar aku kesuntukan masa (hidayah), namun segala sendiku bagaikan terkunci. Tiada kekuatan (taufik). Berapa kali lembaran tesis dibuka tanpa ada sebarang kemajuan. Tutup kembali. Hari esoknya juga begitu. Sehingga berlarutan beberapa hari, membawa kepada minggu ke minggu.

Hati mula rasa berdebar-debar. Benar dugaan buatku. Segalanya terbentang untuk aku sudahi, namun jika tiada kekuatan daripada Ilahi, tiada satu pun dapat kulakukan. Lemahnya hambuMu ini, Ya Rab.

Allahu Akbar! Mungkin aku harus menyembam sujud kepadaMu dalam tangisan taubat dengan lebih kerap lagi. Meratap merayu agar dianugerahi lagi taufik beserta hidayahMu.

Allahu Akbar! Moga mendapat keredhaan drp mereka yg penting buatku, terutamanya suamiku, ibuku, penyeliaku, anak-anakku dan sekalian umat manusia. Dengan siapakah yang aku telah berdosa, hingga tersangkut segalanya? Allahu Rabbi, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini. Ya Allah Ya Rahim, Kau bukakanlah hati mereka memaafkan segala kesalahanku terhadap mereka. Aku dambakan pelayaran yang diredhai dan diberkati.

Laa haw lawalaa quwwata illa billah hil 'aliyil azhiiiim.

Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Kurniakanlahku Taufik beserta HidayahMu.
Amiiiin... Ya rabbal 'aalamin..

Tuesday, October 21, 2014

Setelah Sekian Lama.. Alhamdulillah

SubhanAllah, sudah sekian lama tidak berkunjung di sini?

Telah banyak perubahan dan nikmat yang dikecapi sejak entri yang lalu.

Alhamdulillah, sudah diterima masuk ke universiti baru sejak Mei 2013 yang lalu. Allah permudahkan segalanya. Masakan tidak. Keputusan yang diberikan oleh Allah melalui munajat dalam Istikharahku, pasti memberi pengakhiran yang baik-baik dan menenangkan hati.

Setelah diterima masuk ke universiti baru, kami sekeluarga berpindah berhampiran dengan universiti tersebut. Walaupun rumah dahulu hanyalah 2 jam daripada universiti, penyelia mengarahkan agar berpindah juga supaya mudah fokus dan tidak buang masa dalam perjalanan. Segalanya kuturuti. Syukur Alhamdulillah, hasil demil hasil berbuah.

Secara ringkasnya, sejak diselia oleh penyelia baru, kemajuan PhD sungguh lancar. Tajuk penyelidikan juga berubah selaras dengan kepakaran penyelia dan dipermudahkan pula untuk mendapatkan data sekunder di laman web percuma! Dipimpin untuk bertatih menulis rancangan penyelidikan (research proposal), dihantar berguru dengan yang pakar, mengumpul dan memproses data, sehinggalah dapat membentangkan penyelidikan di seminar dan menerbitkan beberapa artikel di jurnal. Syukur Alhamdulillah. Pembentangan rancangan penyelidikan juga berlangsung cemerlang dan diterima pihak universiti dengan komen yang minor. Sehingga kadang-kala terleka pula diulit nikmat-nikmat bertali arus. SubhanAllah. Diuji dengan nikmat kadang-kala lebih menyulitkan. Namun, Alhamdulillah, Allah hantar pula orang di sekeliling yang sentiasa mengingatkan agar tidak terus lena terbuai.

Kini sudah masuk ke era penulisan tesis. Atas sebab-sebab tertentu, kami sekeluarga berpindah semula ke tempat asal yang jaraknya 2 jam daripada universiti. Sewaktu memutuskan untuk pindah, penyelia telah bersetuju. Namun apabila sudah berpindah, beliau ada berasa sedikit sesal kerana merasakan agak sukar untuk berhubung. Allahu Akbar. Moga-moga dipermudahkan untuk menamatkan pelayaran ini.

Samada berasa terlalu selesa, atau bermasalah untuk fokus apabila lenang tinggal di tempat asal, kemajuan menulis tesis agak perlahan. Terlalu banyak aktiviti untuk dilakukan, di samping menguruskan anak-anak, rumahtangga dan suami. Pernah disarankan oleh penyelia untuk meninggalkan suami dan anak-anak dalam tempoh sebulan, dan menetap berhampiran universiti untuk menulis tesis secara intensif. Apakan daya, diri ini milik suami. Tanpa keizinannya, tidak ke mana, dan tiada berkat.

Teruslah berusaha keras melawan gangguan-gangguan dalaman dan luaran untuk meneruskan menulis tesis di rumah sendiri. Setiap minggu atau 2 minggu sekali, pertemuan dengan penyelia akan diatur untuk membincangkan hasil penulisan tesis setakat waktu ini. Penyelia senang melihat tesis bab demi bab dan memperbaikinya sedikit demi sedikit, daripada menghantar keseluruhan tesis dan agak payah untuk membetulkannya jika ada kesilapan.

Kini tempoh pelayaran berbaki 2 bulan setengah. Oh! Masih banyak yang perlu dihabiskan dalam tempoh itu. Moga-moga permohonan pelanjutan tempoh pelayaran diluluskan majikan dan penaja.

Doakan ya!


Nota: Ohya. Ibu mertuaku meninggalkan alam fana ini dua hari sebelum hari pembentangan rancangan penyelidikanku (proposal defense). Mohon sedekah Al-Fatihah buatnya. Hilang berkat dan doa seorang ibu.... :(

Tuesday, April 23, 2013

Permudahkanlah...

Menanti, berdoa dan terus menanti dan terus berdoa, akhirnya berita gembira diterima juga. Pembiaya telah pun meluluskan pertukaranku ke universiti yang kupilih!! Syukur tak terhingga. Mendapat jawapan yang ditunggu, bermulalah pengembaraan kami mencari rumah sewa serta sekolah dan taska anak-anak. Syukur Alhamdulillah, rumah yang termurah walaupun di luar kemampuan kami ditemui. Rumah tersebut pula sudah dilengkapi perabot. Urusan-urusan berkaitan juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Kami juga sepakat untuk menjual perabot-perabot sedia ada dan berpindah dengan hanya membawa pakaian dan keperluan diri sahaja untuk mengurangkan kos.


Sementara itu, kesihatan ibu mertua semakin merosot. Setelah kulit serta mata putihnya bertukar menjadi kuning, ibu mertua akhirnya bersetuju untuk ke hospital bertemu pakar seperti yang disarankan oleh doktor klinik. Sebaik sahaja bertemu pakar, dia terus ditahan untuk bermalam di wad. Hari yang sama, dia menjalani ujian ultrasound untuk mengetahui penyakit yang disyaki. Menurut laporan ultrasound, penyakit ibu mertua ini berat. Dia disyakki sedang berperang dengan kanser pankreas!! Hal ini masih dirahsiakan daripada ibu mertua bagi mengelakkan dia bertukar fikiran dan menerima kejutan.


Ibu mertua diwadkan lebih kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang. Seminggu itu, dia dimasukkan darah dan air untuk memulihkan keadaan dan tenaganya. Dia nampak sangat lemah dari segi fizikal dan juga emosi. Mungkin setiap  hari, berat dia memikirkan penyakitnya itu. Sepanjang seminggu itu juga rutin berubah. Kakak ipar dari Johor datang menjaga ibu mertua bergilir dengan suamiku. Namun begitu, sempat kami ke universiti baruku untuk mendaftar.


Setelah beberapa hari di rumah, ibu mertua dijadualkan untuk menjalan ujian CT scan pula untuk mengetahui kansernya itu tahap keberapa. Laporan CT Scan akan diperolehi dalam masa dua minggu. Seminggu lagi, kami dijadualkan pindah ke tempat baru. Adik-beradik suamiku telah bersetuju untuk memindahkan perubatan ibu mertua ke hospital di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan penjagaannya.



Senarai semakku berubah drastik kini...



Senarai semak 2013:

1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (Selesai, Alhamdulillah)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)(Selesai, Alhamdulillah)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru(Selesai, Alhamdulillah)
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.


Satu perkara yang merunsingkanku.... Semangat berjuang melayar bahtera PhD ini semakin luntur. Oh Tidak!

Tuesday, March 19, 2013

Huru-Hara

Aku dapati pengurusan diri serta pengurusan tanggungjawab-tanggungjawab yang terpikul di bahuku masih lagi huru-hara. Tugas mengurus suami dan anak-anak, mengurus rumahtangga, mengurus pengajian, mengurus perniagaan dan diri sendiri (zahir dan batin), masih tidak optima.

Aku mohon kepada Allah agar memberi taufik dan hidayah untukku uruskan semuanya dengan baik. Tunjukkanlah jalan yang lurus serta lindungilah aku, Ya Rabb.. Amiiin.