Tuesday, October 21, 2014

Setelah Sekian Lama.. Alhamdulillah

SubhanAllah, sudah sekian lama tidak berkunjung di sini?

Telah banyak perubahan dan nikmat yang dikecapi sejak entri yang lalu.

Alhamdulillah, sudah diterima masuk ke universiti baru sejak Mei 2013 yang lalu. Allah permudahkan segalanya. Masakan tidak. Keputusan yang diberikan oleh Allah melalui munajat dalam Istikharahku, pasti memberi pengakhiran yang baik-baik dan menenangkan hati.

Setelah diterima masuk ke universiti baru, kami sekeluarga berpindah berhampiran dengan universiti tersebut. Walaupun rumah dahulu hanyalah 2 jam daripada universiti, penyelia mengarahkan agar berpindah juga supaya mudah fokus dan tidak buang masa dalam perjalanan. Segalanya kuturuti. Syukur Alhamdulillah, hasil demil hasil berbuah.

Secara ringkasnya, sejak diselia oleh penyelia baru, kemajuan PhD sungguh lancar. Tajuk penyelidikan juga berubah selaras dengan kepakaran penyelia dan dipermudahkan pula untuk mendapatkan data sekunder di laman web percuma! Dipimpin untuk bertatih menulis rancangan penyelidikan (research proposal), dihantar berguru dengan yang pakar, mengumpul dan memproses data, sehinggalah dapat membentangkan penyelidikan di seminar dan menerbitkan beberapa artikel di jurnal. Syukur Alhamdulillah. Pembentangan rancangan penyelidikan juga berlangsung cemerlang dan diterima pihak universiti dengan komen yang minor. Sehingga kadang-kala terleka pula diulit nikmat-nikmat bertali arus. SubhanAllah. Diuji dengan nikmat kadang-kala lebih menyulitkan. Namun, Alhamdulillah, Allah hantar pula orang di sekeliling yang sentiasa mengingatkan agar tidak terus lena terbuai.

Kini sudah masuk ke era penulisan tesis. Atas sebab-sebab tertentu, kami sekeluarga berpindah semula ke tempat asal yang jaraknya 2 jam daripada universiti. Sewaktu memutuskan untuk pindah, penyelia telah bersetuju. Namun apabila sudah berpindah, beliau ada berasa sedikit sesal kerana merasakan agak sukar untuk berhubung. Allahu Akbar. Moga-moga dipermudahkan untuk menamatkan pelayaran ini.

Samada berasa terlalu selesa, atau bermasalah untuk fokus apabila lenang tinggal di tempat asal, kemajuan menulis tesis agak perlahan. Terlalu banyak aktiviti untuk dilakukan, di samping menguruskan anak-anak, rumahtangga dan suami. Pernah disarankan oleh penyelia untuk meninggalkan suami dan anak-anak dalam tempoh sebulan, dan menetap berhampiran universiti untuk menulis tesis secara intensif. Apakan daya, diri ini milik suami. Tanpa keizinannya, tidak ke mana, dan tiada berkat.

Teruslah berusaha keras melawan gangguan-gangguan dalaman dan luaran untuk meneruskan menulis tesis di rumah sendiri. Setiap minggu atau 2 minggu sekali, pertemuan dengan penyelia akan diatur untuk membincangkan hasil penulisan tesis setakat waktu ini. Penyelia senang melihat tesis bab demi bab dan memperbaikinya sedikit demi sedikit, daripada menghantar keseluruhan tesis dan agak payah untuk membetulkannya jika ada kesilapan.

Kini tempoh pelayaran berbaki 2 bulan setengah. Oh! Masih banyak yang perlu dihabiskan dalam tempoh itu. Moga-moga permohonan pelanjutan tempoh pelayaran diluluskan majikan dan penaja.

Doakan ya!


Nota: Ohya. Ibu mertuaku meninggalkan alam fana ini dua hari sebelum hari pembentangan rancangan penyelidikanku (proposal defense). Mohon sedekah Al-Fatihah buatnya. Hilang berkat dan doa seorang ibu.... :(

No comments:

Post a Comment