Tuesday, April 23, 2013

Permudahkanlah...

Menanti, berdoa dan terus menanti dan terus berdoa, akhirnya berita gembira diterima juga. Pembiaya telah pun meluluskan pertukaranku ke universiti yang kupilih!! Syukur tak terhingga. Mendapat jawapan yang ditunggu, bermulalah pengembaraan kami mencari rumah sewa serta sekolah dan taska anak-anak. Syukur Alhamdulillah, rumah yang termurah walaupun di luar kemampuan kami ditemui. Rumah tersebut pula sudah dilengkapi perabot. Urusan-urusan berkaitan juga berjalan lancar. Alhamdulillah. Kami juga sepakat untuk menjual perabot-perabot sedia ada dan berpindah dengan hanya membawa pakaian dan keperluan diri sahaja untuk mengurangkan kos.


Sementara itu, kesihatan ibu mertua semakin merosot. Setelah kulit serta mata putihnya bertukar menjadi kuning, ibu mertua akhirnya bersetuju untuk ke hospital bertemu pakar seperti yang disarankan oleh doktor klinik. Sebaik sahaja bertemu pakar, dia terus ditahan untuk bermalam di wad. Hari yang sama, dia menjalani ujian ultrasound untuk mengetahui penyakit yang disyaki. Menurut laporan ultrasound, penyakit ibu mertua ini berat. Dia disyakki sedang berperang dengan kanser pankreas!! Hal ini masih dirahsiakan daripada ibu mertua bagi mengelakkan dia bertukar fikiran dan menerima kejutan.


Ibu mertua diwadkan lebih kurang seminggu sebelum dibenarkan pulang. Seminggu itu, dia dimasukkan darah dan air untuk memulihkan keadaan dan tenaganya. Dia nampak sangat lemah dari segi fizikal dan juga emosi. Mungkin setiap  hari, berat dia memikirkan penyakitnya itu. Sepanjang seminggu itu juga rutin berubah. Kakak ipar dari Johor datang menjaga ibu mertua bergilir dengan suamiku. Namun begitu, sempat kami ke universiti baruku untuk mendaftar.


Setelah beberapa hari di rumah, ibu mertua dijadualkan untuk menjalan ujian CT scan pula untuk mengetahui kansernya itu tahap keberapa. Laporan CT Scan akan diperolehi dalam masa dua minggu. Seminggu lagi, kami dijadualkan pindah ke tempat baru. Adik-beradik suamiku telah bersetuju untuk memindahkan perubatan ibu mertua ke hospital di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan penjagaannya.



Senarai semakku berubah drastik kini...



Senarai semak 2013:

1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (Selesai, Alhamdulillah)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)(Selesai, Alhamdulillah)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru(Selesai, Alhamdulillah)
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.


Satu perkara yang merunsingkanku.... Semangat berjuang melayar bahtera PhD ini semakin luntur. Oh Tidak!

No comments:

Post a Comment