Saturday, February 16, 2013

Senarai Semak 2013

Alhamdulillah, tiada kata dapat terluahkan selain syukurku kepada Rabbal Alamin apabila menerima surat tawaran tiga hari lalu daripada universiti yang bakal aku masuki! Syukur.. syukur.. syukur..

Namun tawaran ini tidak datang hanya membawa berita gembira, tetapi juga memberi amaran keras bahawa ini adalah peluang terakhir! Tempoh pengajian juga hanya diberikan setakat dua tahun, iaitu baki daripada tempoh pengajian asalku. Syaratnya juga, aku tidak akan diterima masuk selagi tidak mendapat kelulusan pihak pembiaya. Apa pun, bagiku peluang inilah yang harus aku manfaatkan sebaiknya.

Syarat tambahan yang diberikan oleh bakal penyelia pula ialah aku harus menelaah dan membuat penyelidikan di universiti sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Memandangkan rumah dan kampus berjarak dua jam perjalanan darat, ini memberi cabaran baru buatku. Bagaimanakah sebaiknya aku harus menyusun perjalanan, waktu belajar serta anak dan suamiku? Suamiku tidak bersetuju untuk aku menyewa sendiri dan tinggal berhampiran kampus selama tiga hari seminggu. Dia lebih rela berulang alik setiap hari! Hal ini telah menimbulkan rasa kurang senang kepada bakal penyelia. Baginya aku tidak cukup komited.

Ya Rab! Aku tersepit di antara menjaga adabku dengan guru dan menjaga hati serta mentaati suami. Berilah jalan keluar kepada hambaMu yang serba lemah ini..

Dalam pada itu, tarikh tutup untuk mendaftar ke semester baru di universiti yang bakal kutinggalkan hampir tiba. Aku tidak dapat menarik diri sebelum segalanya selesai. Harus pula memohon untuk penangguhan pendaftaran.

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (menanti dekan masuk pejabat untuk tandatangan)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (masih berdoa siang malam)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

Inilah rupanya PhD. Pengurusan dunia luaran yang lebih penting untuk benar-benar fokus!

Pengajaran paling berharga dalam hidupku dalam pelayaran ini.

Tiada siapa yang dapat kuadukan segala kesulitanku, melainkan hanya padaMu Ya Latif.
Kau permudahkanlah dan makbulkanlah doa-doaku, serta redhai, rahmati dan berkatilah usahaku.

Mohon pembaca-pembaca entri, walau di mana pun kalian, untuk mengAminkan doaku ini...

No comments:

Post a Comment