Friday, February 1, 2013

Bantuan daripadaNya..

Permohonan untuk memasuki universiti baru telah selesai. Kini menanti jawapan, moga-moga dibalas dengan surat tawaran. Bakal penyelia di universiti baru cuba mengusahakan agar Timbalan Naib Canselor mempertimbangkan permohonanku. Mereka meminta agar pembiaya biasiswaku memberi lampu hijau terlebih dahulu. Namun, aku hanya akan memohon kepada pembiaya biasiswa sekiranya diterima masuk ke universiti baru. Seperti kes ayam dan telur. Yang mana satu dahulu? Mujur, Allah ilhamkan kepada penyelia yang bakal menerimaku untuk mencadangkan tawaran bersyarat. Syaratnya aku hanya akan diterima masuk sekiranya diberi keizinan oleh pembiaya biasiswa. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya proses penukaran universiti ini belum buntu dan dapat diteruskan.

Sementara itu, aku menanti surat tawaran dengan hati berdebar-debar. Aku faham, ia mungkin mengambil sedikit masa. Dalam situasi yang agak stres buatku, aku dikirimkan Allah bantuan melalui makhluknya. Pertama, ada sahabat di fesbuk yang berkongsi hadith:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.
MasyaAllah, Allah mahu aku terus bersabar dan bermunajat kepadanya. Bagaimana pula doa ini tidak makbul padahal keputusan menukar penyelia dan universiti itu dijawab Allah daripada Istikharahku? Sabar.. Sabar.. Sangka baik dan Yakinlah wahai diri..

Kedua, penulis blog yang telah pun mendapat PhD bercerita yang PhD bukanlah sesuatu yang stres, tetapi reaksi kita kepada dunia luaran yang membuatkan kita stres; seperti kisahnya di sini.

Benar katanya. Selagi kita merasa ia sesuatu yang boleh diatasi, pasti kita boleh tenang dan menyusun semula langkah untuk menghadapi apa jua situasi. SubhanAllah. Terima kasih, Allah. HidayahMu buat hambaMu yang daif ini.

Selain menanti dan berdoa, kuteruskan juga memulakan langkah lagi untuk tajuk yang disarankan oleh bakal penyelia. Sedikit, sedikit.. moga-moga jadi bukit!

Permudahkanlah, Ya Rahim! Amiiin.

No comments:

Post a Comment