Friday, December 21, 2012

Ba.. ba.. chak!

Astaghfirullah, lama sungguh tidak menjenguk ke bahtera ini! Atas sebab-sebab tertentu, semuanya harus terhenti buat seketika. Alhamdulillah, pelayaran PhDku masih diteruskan. Cuma terhenti menulis di sini.

Kini rupa-rupanya aku dlm bulan ke duabelas pelayaran. MasyaAllah. Pantas sungguh masa berlalu. 

Kolokium PhD yang dianjurkan bulan Ogos lalu betul-betul menjadi titik tolak kepada pelayaranku. Mana tidaknya, aku bagai diberi satu kejutan dari lena yang panjang! Banyak teknik dan target yang tersasar sebelum ini, harus dikembalikan ke landasan yang betul. Mencari ilmu tanpa guru ini memang mudah hanyut. Umpama pelayaran tanpa kompas dan nakhoda. Oh! Sekarang aku sedar, peringkat ini aku harus pergi ke seberapa banyak bengkel penyelidikan untuk mendapat tunjuk ajar daripada guru yang pakar seterusnya mendorong motivasi diri.

Dan seperkara yang lebih besar telah terjadi ialah, aku sudah menukar topik! Daripada Kewangan Islam kepada Mikro Kewangan Islam. Walaupun nampaknya seperti tidak banyak beza, pendekatannya dan pendedahan yang harus diteliti agak banyak berbeza. Semuanya harus bermula sekali lagi!! REFRESH dan RESTART!

Beberapa perkara yang aku pelajari setakat ini berkenaan urus masa dan urus diri:
1) Dalam membuat perancangan, banyak faktor yang harus diambil kira. Contohnya bulan Ramadhan bila mana tidak banyak masa boleh diluangkan untuk membuat kerja-kerja PhD kerana secara automatik kita akan menjadi tamak pahala untuk merebut peluang melakukan ibadah-ibadah khusus di bulan Ramadhan. Selain itu, persiapan menghadapi perayaan juga mengambil masa.

2) Bulan-bulan perayaan serta cuti sekolah anak-anak perlu juga diambil kira dalam jadual dan perancangan. Waktu-waktu begitu harus dipenuhi dengan layanan mesra kepada anak-anak serta saudara-mara. Tidak dapat untuk menyendiri dan mementingkan diri. Memang semuanya akan terhalang serta diri akan menjadi stres. Lebih baik jika bulan-bulan ini dimasukkan dalam jadual agar kerja-kerja PhD dapat diusaikan dengan segera sebelum tibanya bulan-bulan tersebut, dan tidak terlebih optimis untuk memperuntukkan jam yang lebih untuk bekerja, namun sentiasa tidak dapat tercapai. Bulan perayaan bukan bererti terus bercuti daripada kerja PhD (inilah kesilapan yang telah dilakukan), tetapi menyingkatkan waktu bekerja.

3) Target sepanjang pengajian haruslah dibahagikan kepada semester, bulan dan minggu. Perancangan setiap semester dibuat di awal pengajian. Manakala jadual dan target bulanan serta mingguan pula hanya akan dibuat apabila tiba semester dan bulan berkenaan. Contohnya, bila tiba semester dua, barulah target 6 bulan dalam semester dua itu dibuat. Apabila tiba bulan pertama dalam semester dua, barulah target mingguan bulan itu dibuat. Alhamdulillah, ilmu yang dikutip daripada salah satu bengkel penyelidikan juga. Apabila target tercapai, walau apa pun gangguan yang tiba motivasi boleh tetap tinggi.

4) Komunikasi kepada ahli keluarga terutamanya suami harus beres. Mesti terangkan hingga dia mengerti akan target yang ingin kita capai serta halangan-halangan yang bakal ditempuh. Selalunya, jika dia faham, pasti seratus peratus sokongan akan diberikan. Contohnya sepanjang cuti sekolah kali ini, suami mengawasi anak-anak daripada mengganggu waktu aku sedang bekerja. Syukur!

5) Amanah-amanah lain harus diselesaikan bersekali dengan amanah PhD ini. Mohon doa daripada Allah agar dipermudahkan menjalani amanah-amanah yang dipikulkan ke bahu kita. Sekiranya amanah-amanah lain kita abaikan, memang Allah akan sukarkan kita untuk menunaikan amanah PhD pula. Tidak boleh mementingkan diri semata, sebaliknya mohon bantuan untuk melaksanakan kesemuanya sesempurna mungkin. Bergantunglah pada Allah sepenuhnya. InsyaaAllah, dia sentiasa bersama kita

Yang penting harus ingat, jika tidak waktu cuti belajar sepenuh masa yang diberikan ini, kita tidak akan ada masa lagi selepas ini untuk menyudahkan pengajian PhD!!

Cukup dulu sesi melepas rindu. Akan disambung ke entri Research Problem dan Literature Review pula, insyaaAllah.

Nota: Pokok bunga matahari aku gagal tumbuh. Pokok bunga raya pula berbunga lebat. Serai, limau purut, halia, lengkuas dan kunyit tumbuh dengan baik, cuma masih belum cukup besar untuk dimakan hasilnya. Inilah yang bakal menjadi tanda ingatan apabila aku selesai PhD kelak. Pertumbuhan pokok-pokok ini sama dengan pertumbuhan PhDku! :)

No comments:

Post a Comment