Tuesday, March 19, 2013

Kusut Terlerai

Badai kali ini melanda melibatkan perkara yang lebih besar. Rupa-rupanya restu dan persetujuan suami untuk berpindah hampir dengan universiti mendapat tentangan daripada ibunya sendiri. Ibunya yang baru menghidapi sakit yang agak berat, terusik hati apabila anakndanya tempat dia bergantung berhasrat untuk berpindah. Sakit ibu tidaklah menyebabkan dia terlantar kesakitan, tetapi tanda-tanda yang tidak normal berlaku, mulai timbul. Yang lebih menyulitkan ialah ibu tidak berani untuk berdepan dengan kenyataan dan berhasrat untuk tidak bertemu doktor untuk mengetahui sakitnya yang sebenar dan membiarkan penyakit sebagai satu misteri. Sebaliknya berubat secara batin sahaja. Perkara ini terlindung dan tidak diluahkan secara terang sehingga kami menjadi bingung mengapa saudara-mara seolah-olah mendoakan kami tidak akan dapat pindah. Campurtangan daripada adik-beradik yang lain juga mengusutkan kepala yang sedang berserabut. Yang lebih menyedihkan, suami dituduh melebihkan isteri daripada ibu sendiri. Walhal duduk perkara sebenar tidak dibincangkan.

Berkat isteri bergantung kepada restu suami. Manakala sejahtera anak lelaki bersandar kepada redha ibu! Kusut.. Kami sudah mengajak ibu ikut bersama kami, namun dia memilih untuk tetap bersama adiknya yang tinggal berhampiran rumah kami kini. Memang hati kecil ini senang tersinggung apabila itu terjadi, namun memaafkan ibu yang sedang sensitif berjuang melawan penyakit 'misteri'nya.

Aku bermunajat terus kepada Allah. Adakah ini petanda untuk menukar keputusan? Ataukah ini hanyalah dugaan kecil untuk menduga keyakinanku? Terus juga beristikharah, agar ditunjukkan jalan yang terbaik. Syukur Alhamdulillah, suami tegas dengan pendiriannya. Bukan bermakna dia mahu derhaka, tetapi baginya, semua itu boleh diuruskan. Restu ibu yang utama. Menjagi ahlinya tetap perkara terpenting.

Akhirnya kami bertemu jalan tengah. Ibu yang membawa hati di rumah adiknya, kami bawa keluar untuk berbincang empat mata bersama anak harapannya. Setelah dipujuk, ibu bersetuju untuk mengikut kami berpindah. Itu pun setelah dia bersetuju kami carikan seorang pembantu yang akan sentiasa bersamanya waktu aku pergi belajar, dan suami keluar bekerja. Setiap minggu kami akan berulang ke tempat Ibu mendapat rawatan batin. Adik-beradik lain juga bersetuju. Terlerai sudah kusut seminggu dua ini!! Syukur, syukur, syukur.. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Rahman.. :)

Sementara itu, kelulusan daripada universiti majikan telah diterima. Alhamdulillah!! Kini menanti kelulusan pembiaya. Allah rindukan munajatku lagi.. :)

Senarai semakku rupanya bertambah satu lagi, iaitu mendapat restu ibu mertua! Alhamdulillah, sudah diperolehi juga.

Penyelidikan sudah bermula. Suatu tidak terjangka terjadi apabila kerja-kerja menulis notaku selama satu bulan yang disimpan di fail OneNote terhapus dengan dua klik secara tidak sengaja!! Kisahnya di sini.

Senarai semak 2013:
1) Surat tawaran daripada universiti baru (Selesai, Alhamdulillah)
2) Surat penangguhan pendaftaran universiti sekarang (dalam proses)
3) Surat permohonan menukar universiti (Selesai, Alhamdulillah)
4) Kelulusan pembiaya (dalam proses)
5) Tarik diri daripada universiti yang bakal ditinggalkan
6) Pendaftaran di universiti baru
7a) Memujuk suami untuk pindah berdekatan kampus (Selesai, Alhamdulillah!!)
7b) Mendapat restu ibu mertua (Selesai, Alhamdulillah)
8) Urusan perpindahan rumah, sekolah anak-anak, perniagaan suami, kelas fardu ain (dalam proses)
9) Mengambil hati bakal penyelia untuk bermula sekali lagi (sedang berjalan)
10) Mula penyelidikan untuk pembentangan cadangan penyelidikan (sudah bermula)
11) Penyelidikan dan menulis sehingga chapter 3 atau 4.

No comments:

Post a Comment