Wednesday, April 25, 2012

Baca.. Baca.. Baca, Oh PhD!

Berkesempatan bertemu dengan penyelia utama bulan ini, beliau telah memberi komen pada tugasan pertama iaitu Chapter 1. Walaupun agak lekeh hasil tugasan yang disudahkan dalam tempoh kurang sebulan itu, Alhamdulillah beliau amat berminat dengan topik yang dianggap baru dan unik itu. Syukur hanya kukembalikan padaMu atas kelahiran ilham-ilham tersebut. 

Pun begitu, masih banyak yang perlu diperbaiki seperti angka-angka statistik untuk menyokong pernyataan yang penting. Teori serta model daripada penyelidikan terdahulu juga perlu digali untuk memudahkan tugasan penyelidikan ini disudahkan dan dihujahkan (pertahankan) secara akademik. Saranan untuk melakukan pra-temuramah yang agak agresif terhadap pelaku dalam bidang perbankan Islam juga diutarakan. Masih banyak yang perlu dilakukan, nampaknya.

Beliau juga menyarankan untuk terus membaca bahan bacaan ilmiah yang berkaitan. Bilangan yang dicadangkan ialah 100 hingga 150 naskhah jurnal dan lebih kurang 50 buah buku ilmiah. Oh! Hampir ternganga mulutku mendengarkan angka yang begitu banyak. Ini benar cabaran buatku! Untuk calon yang kurang pengetahuan asas ini, mungkin perlu membaca lebih daripada itu. Benarlah seperti wahyu pertama yang diturunkan kepada kekasih Allah: IQRA'!

Baca dan terus baca.... Mohon diberikan kesihatan, kecerdasan, kefahaman serta kecekalan untuk menyelami "laut dalam" ilmuMu ini, Ya 'Alim.

No comments:

Post a Comment