Friday, March 30, 2012

Hobi Baru

Semenjak perubahan rutin kepada pelajar siswazah sepenuh masa, saya bertemu hobi baru; iaitu bercucuk tanam. Sebenarnya tiada apa-apa pengalaman, cuma pernah membantu Atok bertanam kacang panjang, ubi kayu, pucuk manis dan jagung waktu kecil dulu. Atok suka mengajak saya menanam jagung, kerana katanya biar biji-biji jagung rapat-rapat seperti gigi saya.

Setelah dewasa, tiada banyak peluang bercucuk tanam. Pernah sekali menanam pokok inai, kari dan pandan di halaman rumah ibu. Setelah rumah ibu diperbesar, pokok-pokok itu pun lenyap. Sewaktu sudah bekerja dan tinggal di rumah sendiri pula, tiada tempat bercucuk tanam di kawasan apartment. Setelah berkahwin juga begitu. Apabila dinyatakan hasrat untuk bercucuk tanam, suami tidak berapa menggalakkan. Mungkin kerana latar belakangnya sebagai orang bandar, jarang sekali menjalankan aktiviti bercucuk tanam.

Baru-baru ini, bernasib baik kerana rumah yang baru kami diami ini ada sedikit kawasan tanah di tepi pagar hadapan. Dari situlah saya bermula. Mulanya menanam serai, halia, lengkuas dan kunyit. Namun serai yang berdaun. yang lain-lain tidak menjadi kerana salah teknik. Hehehe. Amalan tanpa ilmu! Kemudian saya beli pula anak pokok di pasar. Bunga raya warna merah jambu serta limau purut. Alhamdulillah, rezeki Allah dari bumi. Hari ini, pokok limau purut saya sudah tumbuh sejengkal sejak ditanam tempohari. Bunga raya pula sudah berputik! Tak sabar rasanya hendak melihat bunga tersebut kembang mekar.

Percubaan kedua menanam halia, lengkuas dan kunyit bermula beberapa minggu lepas dengan sedikit tambahan ilmu. Setakat ini juga, halia sudah berputik. Begitu juga lengkuas. Tinggal kunyit yang belum nampak apa-apa lagi. Apa-apa pun, hati sangat-sangat gembira melihat pertumbuhan tanaman-tanaman tersebut!

Semalam juga. pesanan benih bunga matahari telah sampai. Teruja yang amat sangat mula menyemai lima biji benih ke dalam plastik berisi tanah. Hanya diletakkan di tepi tingkap di dapur. Menurut pembacaan, biji bunga matahari mudah dimakan burung, jadi saya cuba dulu menanam di dalam rumah. Moga pencahayaan yang diterima dari tingkap dapur itu mencukupi untuk bercambah.

Puas hati dengan hobi baru ini. Moga-moga usaha berhasil!

No comments:

Post a Comment